PENGENALAN


Hospital Kajang terletak di sebelah timur Bandar Kajang di dalam Daerah Hulu Langat, Negeri Selangor Darul Ehsan. Menurut catatan sejarah, ia dibina pada tahun 1889 di atas tanah seluas 16 ekar, kira-kira 30km di tenggara Kuala Lumpur.
Hospital ini telah berkembang maju selaras dengan pembangunan daerah Hulu Langat dari 250 katil pada tahun 1970-an kepada 386 katil pada masa kini. Dari segi struktur bangunan, hospital ini telah menerima bangunan tambahan peringkat demi peringkat. Pembinaan bangunan wad yang asal telah didirikan pada tahun 1910 dan diikuti dengan bangunan wad setinggi 4 tingkat pada tahun 1976 (168 katil). Bangunan lain adalah blok Sajian Makanan (1983), Rumah Mayat (1985), blok Unit Patologi (1992). Bangunan tambahan melalui projek Pembangunan Semula Fasa 2, Hospital Kajang telah dibiayai oleh Bank Pembangunan Asia berjumlah RM14.1 juta dan telah siap pada tahun 1999.
Antaranya Wad Bersalin Kelas 1 & 2 (22 katil), Unit Rawatan Khas Bayi (20 katil), Dewan Bedah (3 bilik), Unit Rawatan Rapi (6 katil), Wad Kanak-Kanak (25 katil) dan blok Rehabilitasi melalui Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), pada tahun 2011 dua buah bangunan baru telah dibina iaitu Wad 8 yang terdiri dari 20 katil dan juga klinik Pakar Psikiatri (cadangan bangunan Jabatan Radiologi Utama pula telah dibina pada tahun 2010).
Hospital Kajang diterajui oleh seorang Pengarah Hospital dengan di bantu oleh tiga orang timbalan iaitu dua orang Timbalan Pengarah Perubatan dan seorang Timbalan Pengurusan. Pengarah Hospital Kajang bertanggungjawab terus kepada Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor. Beliau juga di bantu oleh pakar-pakar perubatan, pegawai-pegawai perubatan, pihak pengurusan, paramedik, kumpulan sokongan klinikal yang bertanggunjawab terus kepada Pengarah Hospital Kajang. Sehingga Jun 2025, jumlah kakitangan di Hospital Kajang adalah sebanyak 1862 orang. Terdapat 18 Jabatan dan 20 Unit di Hospital Kajang dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik khususnya penduduk Kajang.

Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Kajang: Satu Langkah Transformasi Kesihatan.
Sebagai mercu tanda baharu dalam sistem kesihatan Negeri Selangor, Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak, Hospital Kajang merupakan projek menaik taraf hospital sedia ada bagi memenuhi keperluan kesihatan yang yang semakin meningkat. Bermula pada tahun 2018 dan siap pada tahun 2024, pusat ini terletak kira-kira 800 meter dari bangunan utama Hospital Kajang yang telah berusia 136 tahun.
Dibina bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan perkhidmatan khusus untuk wanita dan kanak-kanak, pusat rawatan moden ini menampilkan bangunan 9 tingkat dengan kapasiti 272 katil, 14 bilik bersalin, 6 dewan bedah, wad rawatan intensif, pusat rawatan harian, serta pelbagai klinik pakar. Dengan kemudah serba canggih dan persekitaran yang selesa, ia menjadi simbol komitmen kerajaan dalam menyediakan penjagaab kesihatan berkualiti tinggi untuk masyarakat.
Pada tanggal 13 Februari 2025, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berkenan merasmikan Pusat Rawatan Wanita dan Kanak-Kanak serta Penjenamaan Semula Hospital Kajang kepada HOSPITAL TENGKU PERMAISURI NORASHIKIN.
 
				
