KETUA JABATAN

Puan Ida Anum Binti Ahmad Jelani
1112
PENGENALAN
Unit Psikologi Kaunseling ditubuhkan pada tahun 2005 di Hospital Sultan Idris Shah Serdang. Unit ini berada di bawah Bahagian Pengurusan Hospital. Seramai tiga (3) orang Pegawai Psikologi menawarkan perkhidmatan psikologi kaunseling kepada klien iaitu pesakit, waris/penjaga serta warga kerja hospital ini.
Perkhidmatan psikologi kaunseling dilaksanakan bagi menghasilkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien secara holistik berlandaskan etika psikologi kaunseling. Perkhidmatan yang diberi meliputi aspek pencegahan, pembangunan, pemulihan dan intervensi kepada klien.
Bagi mendapatkan perkhidmatan psikologi kaunseling, klien perlu mendapatkan surat rujukan daripada pegawai perubatan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan terlebih dahulu. Seterusnya, surat rujukan tersebut diserahkan ke Unit Psikologi Kaunseling, Hospital Sultan Idris Shah Serdang dan tarikh janji temu akan diberikan. Sesi kaunseling bersama klien adalah berdasarkan janji temu sahaja.

Objektif
- Menyampaikan perkhidmatan Psikologi Kaunseling yang seragam dan holistik untuk kesejahteraan individu, organisasi dan komuniti.
- Meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan Pegawai Psikologi(Kaunseling) secara berterusan
- Melaksanakan perkhidmatam berteraskan etika dan peruntukan perundangan yang berkaitan.
Piagam Pelanggan
- Klien akan diberi layanan mesra dan prihatin.
- Setiap klien yang dirujuk akan diberi maklum balas dalam tempoh tiga (3) hari bekerja daripada tarikh rujukan diterima.
- Setiap sesi kaunseling individu akan dilaksanakan sekurang-kurangnya 30 minit manakala kaunseling kelompok/ keluarga dan perkahwinan adalah sekurang-kurangnya 60 minit.
- Setiap klien akan diberi penerangan mengenai perkhidmatan psikologi kaunseling.
- Kerahsiaan maklumat klien akan dijaga dengan baik.
- Klien perlu memaklumkan pegawai psikologi sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh janji temu sekiranya tidak dapat hadir pada tarikh yang telah ditetapkan.
- Pegawai Psikologi berhak untuk memberi janji temu baru sekiranya klien lewat 30 minit dari masa janji temu yang telah ditetapkan.
- Pegawai Psikologi berhak untuk menukar tarikh janji temu klien sekiranya mempunyai tugasan lain yang diarahkan oleh Ketua Jabatan pada hari janji temu yang ditetapkan.

