Hospital Cyberjaya atau HCJ merupakan antara fasiliti kesihatan terkini di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Kementerian Kesihatan Malaysia. Hospital yang berkeluasan 12.82 ekar ini terletak di dalam daerah Sepang, Selangor dan dikelilingi oleh residensi dan pusat komersial “Silicon Valley” Cyberjaya yang mempunyai populasi penduduk seramai 140,000.00 orang.
HCJ menawarkan perkhidmatan perubatan cemerlang sejak penubuhannya sejajar dengan misi & visi sebagai peneraju penyampai perkhidmatan kesihatan awam yang memberikan pengalaman penjagaan kesihatan luar biasa serta merangkumi pelbagai sudut perawatan secara holistik.
Di HCJ, kami mempunyai sebanyak 14 kepakaran major seperti Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Obstetrik & Ginekologi, Kecemasan dan Trauma, Patologi, Radiologi, Ortopedik, Oftalmologi, Anastesiologi, Otorinolaringologi, Pergigian Pediatrik, Bedah Oral dan Maksilofasial, Psikiatri dan Kesihatan Mental dengan 2 kepakaran (lawatan) iaitu Nefrologi dan Geriatrik. Selain itu, disiplin sokongan klinikal yang ditawarkan adalah Rehabilitasi, Dietatik dan Sajian, Farmasi dan Rekod Perubatan. HCJ mempunyai sebanyak 288 katil termasuk 22 katil ICU/CCU/HDW (gunasama) dan 30 katil NICU/SCN (gunasama) dan 20 katil Wad Kelas Pertama.
HCJ merupakan respondan utama kepada sebarang keperluan kritikal (bencana) untuk:
- Kuala Lumpur International Airport (KLIA)
- Kuala Lumpur International Airport Terminal 2 (KLIA)
- Litar Antarabangsa Sepang
HCJ merupakan hospital awam baharu yang pertama di Malaysia memperolehi Penarafan Green Building Index (GBI) tahap Platinum. Faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini meliputi kecekapan tenaga, kecekapan penggunaan air dan penggunaan bahan yang mesra alam melalui pengasingan bahan buangan secara efektif. Infrastruktur di Hospital Cyberjaya mempunyai ciri-ciri khas seperti pengumpulan air hujan, penggunaan tenaga solar, penggunaan lampu sensor gerakan serta tempat pengecasan kereta.
Di HCJ, para pelanggan akan menerima kemudahan fasiliti seperti ruangan menunggu yang selesa, Balai Pelawat, Musolla Ibnu Sina, parkir awam terbuka/ Tempat Letak Kereta Bertingkat, kafeteria, kedai jualan, mesin ATM dan banyak lagi.
Selamat datang ke Hospital Cyberjaya.