NAMA JABATAN

JABATAN REKOD PERUBATAN

 

Pengenalan

Tanggungjawab utama Jabatan Rekod Perubatan adalah menguruskan rekod perubatan pesakit dalam keadaan selamat dan rahsia maklumat pesakit terkawal mengikut prosedur yang ditetapkan serta bertanggungjawab juga dalam menyediakan statistik penting peringkat Hospital Cyberjaya. Jabatan Rekod Perubatan memainkan peranan penting di dalam memberikan maklumat dan data-data yang komprehensif untuk memajukan perkembangan taraf perubatan dan perkhidmatan pesakit di Hospital Cyberjaya.

 

Visi, Misi & Objektif

Visi:

Menjadikan Jabatan Rekod Perubatan sebagai pusat maklumat dan dokumentasi yang lengkap dan memenuhi keperluan merancang, melaksana, mengawas, menilai rancangan, perkhidmatan serta program Hospital Cyberjaya, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Misi:

Berperanan menyediakan maklumat yang tepat dan berkualiti untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan dengan cepat dan berkesan dengan mengunakan teknologi yang terkini.

Objektif:

  • Mengurus rekod perubatan pesakit dengan sistematik dan selamat.
  • Menyediakan statistik dan maklumat kesihatan yang tepat dan bernilai.
  • Menyediakan dokumentasi dan maklumat kesihatan dalam tempoh yang ditetapkan.

 

Carta Organisasi

 

 

 

Perkhidmatan

  • Pengurusan Data Kesihatan dan Statistik Hospital Cyberjaya 
  • Pengurusan Rekod Perubatan Pesakit 
  • Pengurusan Laporan Perubatan 
  • Pengurusan Pentadbiran Am Jabatan Rekod Perubatan

Unit Pengurusan Rekod Perubatan

Di Hospital Cyberjaya, pengurusan rekod perubatan adalah secara elektronik (EMR) di mana aplikasi HIS@KKM telah digunapakai dalam pendaftaran dan perawatan pesakit secara menyeluruh. Pengurusan EMR dikawal selia bersama Jabatan Teknologi Maklumat. Walau bagaimanapun terdapat dokumen yang tidak berintegrasi dengan aplikasi HIS@KKM dan penggunaan dokumen secara 'paper/hardcopy' digunapakai dalam memastikan kesinambungan perawatan kesihatan pesakit. Pengurusan dokumen secara 'paper/hardcopy' akan melibatkan penerimaan, penyimpanan dan pinjaman serta pelupusan. Disimpan dalam fail menggunakan Sistem Terminal Digit dan kod warna.

Aktiviti pengurusan rekod perubatan melibatkan:

  • Menerima 'paper document' rekod perubatan pesakit daripada 11 wad, 12 klinik, Jab Kecemasan dan Rawatan Harian (daycare) Hospital Cyberjaya
  • Menyimpan rekod-rekod yang diterima mengikut Garis Panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
  • Mengawal selia rekod-rekod dengan cermat dan RAHSIA
  • Melaksanakan pelupusan apabila cukup tempoh mengikut Jadual Pelupusan.
  • Memproses pinjaman rekod bagi tujuan sapina mahkamah, penyelidikan, kes mortality jabatan atau hospital kerajaan/klinik kesihatan dan siasatan hospital

Unit Laporan Perubatan

Unit ini menyediakan perkhidmatan bagi permohonan Laporan Perubatan (termasuk borang insuran, KWSP, PERKESO, Buruh 90, BAT117, OKU, dll), Laporan Bedah Siasat, Laporan Pakar, Laporan Pendapat Kedua (second opinion), Laporan Penjelasan/Laporan Pembetulan.

Permohonan Laporan Perubatan tertakluk kepada caj bayaran tertentu. Permohonan yang lengkap akan diproses dalam tempoh 28 hari bekerja dari tarikh diterima lengkap.

Permohonan Laporan Perubatan hendaklah dipohon mengikut tatacara permohonan yang ditetapkan. Sila rujuk Pamplet Tatacara Permohonan Laporan Perubatan.

Pemohon boleh menggunakan borang permohonan yang disediakan atau menulis surat permohonan. Sila rujuk Borang Permohonan Laporan Perubatan.

Sekiranya melibatkan pihak ketiga bagi memohon atau mengambil, kebenaran bertulis (ASAL) hendaklah diberi oleh pesakit/waris/penjaga. Dokumen yang menunjukkan pertalian keluarga (surat beranak/sijil nikah dll berkaitan) hendaklah disertakan bagi pihak waris/penjaga yang memohon. 

Bagi pungutan melalui kaunter, hanya pesakit atau wakil yang membawa surat kuasa sahaja yang dibenarkan mengambil laporan. Sekiranya tidak diambil dalam tempoh 2 minggu laporan tersebut akan dihantar secara pos.

Sebarang permohonan Laporan Perubatan / Laporan Pendapat Kedua (second opinion)/ Laporan Pembetulan / Laporan Penjelasan atau sebarang pertanyaan berkaitan perlu dimajukan ke Jabatan Rekod Perubatan, Hospital Cyberjaya.

Unit Pengurusan Data Kesihatan Dan Statistik 

Unit ini menyediakan perkhidmatan dalam perangkaan bulanan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan menyelaraskan permohonan maklumat perangkaan dari agensi kerajaan dan para penyelidik.

Klasifikasi klinikal koding melibatkan penggunaan standard ICD 10 (diagnosis/penyakit) dan ICD 9CM (prosedur) untuk Pesakit Dalam, Rawatan Harian dan Pesakit Luar.

Permohonan dari agensi kerajaan/berkanun untuk memohon maklumat perangkaan perlu dipohon melalui Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri atau Pengarah Hospital.

Unit Pentadbiran Am 

Unit ini menguruskan hal-hal berkaitan perkhidmatan kakitangan, inventori, pendaftaran kematian, pengesahan lewat daftar kematian dan kelahiran serta menjadi urusetia bagi penubuhan dan persidangan lembaga perubatan dibawah perintah Am agensi kerajaan, PERKESO dan KWSP. Berikut adalah tatacara bagi permohonan pengesahan lewat daftar kelahiran/kematian dan sijil cuti sakit;

Permohonan pengesahan lewat daftar kelahiran/kematian

Pemohon atau waris perlu hadir ke Jabatan Rekod Perubatan dengan membawa salinan kad pengenalan dan laporan polis. Dokumen tambahan diperlukan untuk pengesahan lewat daftar kelahiran iaitu buku rawatan mengandung dan borang berkaitan yang dikeluarkan oleh JPN. Tindakan pengesahan akan mengambil masa dalam tempoh 7 hari bekerja. 

Permohonan pengesahan atau semakan kesahihan sijil cuti sakit oleh majikan

Majikan perlu memohon secara bertulis bersama salinan sijil cuti sakit yang berkaitan ke Jabatan Rekod Perubatan, Hospital Cyberjaya. Tindakan pengesahan akan mengambil masa dalam tempoh 7 hari bekerja.

Hubungi

Sebarang pertanyaan boleh hubungi;
Talian Utama: 03-8873 3500

Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Kaunter Laporan Perubatan : 03-8873 3500 samb. 41401/41402

Maklumat Kesihatan Pesakit : 03-8873 3500 samb. 41408/41409

 

Piagam Pelanggan

  • Setiap pelanggan akan dilayan dengan baik, mesra, bertimbangrasa, hormat, bersopan santun, jujur dan ikhlas.
  • Setiap pelanggan boleh mendapatkan laporan perubatan dalam tempoh 28 hari bekerja dengan syarat pembayaran seperti yang ditetapkan telah dibuat dan permohonan lengkap termasuk rekod perubatan pesakit telah diterima dan sedia untuk diproses.
  • Semua kandungan rekod perubatan pesakit akan dirahsiakan, disimpan dengan selamat dan hanya dikeluarkan kepada pihak tertentu dengan keizinannya tertakluk kepada undang – undang
  • Memastikan laporan bedah siasat akan disediakan dalam tempoh 8 minggu (65 hari bekerja kecuali Hari Sabtu, Ahad dan cuti am) selepas permohonan lengkap diterima
  • Memastikan laporan statistik dan data kesihatan yang disediakan adalah tepat dan dihantar sebelum 15 haribulan bulan berikutnya.

 

Waktu Operasi

Jabatan ini ditutup pada Hari Sabtu, Ahad dan cuti am.