Berita
Majlis Perasmian Penutup Commuting Accident Road Safety Seminar (CAR’s) Sempena Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia 2019
17 April 2019 (Rabu)
Auditorium, Hospital Selayang.
YBhg. Datuk Dr. Hj. Rohaizat bin Hj Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Commuting Accident Road Safety Seminar (CAR’s) Sempena Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia 2019.
Seminar yang dianjurkan oleh Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Bahagian Perkembangan Perubatan, Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Hospital Selayang diadakan bersempena Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia disambut pada 28 April setiap tahun, seperti yang telah diperkenalkan oleh International Labour Organisation (ILO) iaitu sebuah agensi di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO).
Tema rasmi sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Sedunia 2019 adalah A Safe and Healthy Future of Work. Walaubagaimanapun, untuk sambutan tahun ini, pihak KKM memberikan perhatian terhadap isu-isu berkaitan kemalangan ulangalik (commuting accident) memandangkan insiden kemalangan yang kian meningkat serta adakalanya terjadi kemalangan jiwa yang meragut nyawa anggota KKM.
Seminar yang telah berlangsung selama 3 hari ini bermula pada 15 April sehingga 17 April 2019 di Auditorium, Hospital Selayang telah dihadiri seramai 200 orang peserta terdiri daripada pelbagai jawatan dari kalangan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia.
Seminar ini diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan dalam kalangan pekerja dan majikan, menerusi penerapan budaya kerja selamat dan sihat. Ia juga bertujuan untuk memupuk tanggungjawab setiap individu untuk mencegah kemalangan, penyebaran penyakit mahupun kematian pekerja di tempat kerja. Disamping itu, ia juga bertujuan untuk mencapai sasaran Sustainable Development Goal (SDG), 8.8 iaitu persekitaran kerja yang selamat dan terjamin bagi semua pekerja menjelang tahun 2030.
Data pelaporan kes kemalangan ulang alik bagi anggota KKM menunjukkan peningkatan sebanyak 69.4% daripada 193 kes pada tahun 2014 kepada 630 kes pada tahun 2018. Sebanyak 406 kes (64%) kemalangan ulang-alik berlaku semasa pergi ke tempat kerja, 130 kes (21%) semasa pulang daripada tempat kerja diikuti 91 kes (14%) semasa perjalanan tugas rasmi dan 3 kes (1%) semasa waktu rehat.
Sebagai langkah pencegahan, pada hari ini, KKM telah berganding bahu dengan Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) untuk membuat kajian mengenai faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya dalam kalangan anggota KKM.
Diharapkan dengan kerjasama ini punca utama kes kemalangan dalam kalangan anggota KKM dapat dikenalpasti dan seterusnya tindakan penambahbaikan dapat dilaksanakan sebagai usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalanraya.
Pada hari ini, beberapa agensi-agensi berkaitan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut mengadakan promosi dan kesedaran kepada anggota kesihatan.
Ingin diingatkan supaya semua anggota KKM mengambil berat terhadap keselamatan diri dan mengamalkan budaya pemanduan yang selamat, terutamanya selepas selesai menjalankan tugas mereka. Jika keletihan atau berasa mengantuk, anda disarankan untuk mengambil masa untuk berehat seperti hashtag untuk kali ini iaitu ‘rehat dulu baru pandu’. Ini adalah bagi memastikan agar anda dapat memandu dengan selamat semasa dalam perjalanan pulang ke pangkuan keluarga yang tersayang.