ispaaa

"Cekap Merawat, Prihatin Menjaga"

Jabatan Radiologi

SOALAN LAZIM DAN JAWAPAN JABATAN RADIOLOGI

 

  1. Saya tidak dapat hadir pada tarikh temujanji atau ingin mengubah tarikh temujanji apakah yang perlu saya lakukan?

Jawapan : Sila hubungi pegawai di bilik temujanji di sambungan 2002. Untuk kes yang melibatkan temujanji Intervensi, sila hubungi pegawai di sambungan 2040.

  1. Saya lupa berpuasa atau tidak mengambil ubat seperti yang disarankan sebelum hadir temujanji, apa yang perlu saya lakukan?

Jawapan : Sila hubungi pegawai di bilik temujanji di sambungan 2002. Untuk kes yang melibatkan temujanji Intervensi, sila hubungi pegawai di sambungan 2040.

  1. Saya terlepas tarikh temujanji, apakah yang perlu saya lakukan?

Jawapan : Sila dapatkan tarikh temujanji yang baru dengan menghubungi pegawai di bilik temujanji di sambungan 2002. Untuk kes yang melibatkan temujanji Intervensi, sila hubungi pegawai di sambungan 2040.

  1. Saya tidak mahu melakukan pemeriksaan yang disarankan, apakah yang saya perlu lakukan?

Jawapan : Sila hubungi pegawai di bilik temujanji di sambungan 2002. Untuk kes yang melibatkan temujanji Intervensi, sila hubungi pegawai di sambungan 2040. Anda juga perlu menghubungi doktor di klinik yang merujuk.

Permohonan Bantuan Peralatan - Jabatan Kerja Sosial Perubatan

Q & A PERMOHONAN BANTUAN PERALATAN

JABATAN KERJA SOSIAL PERUBATAN

Apakah kriteria pesakit yang layak untuk memohon bantuan peralatan?

  • Warganegara Malaysia.
  • Pesakit miskin / kurang berkemampuan.
    Pesakit yang tidak mempunyai sumber bantuan – bukan kakitangan kerajaan / bukan pesara kerjaan / bukan pencarum SOCSO dll

Apakah prosedur jika pesakit ingin membuat permohonan bantuan peralatan melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan ?

  • Pesakit / waris pesakit perlu memaklumkan kepada Pegawai Perubatan sekiranya tidak mampu untuk membiayai peralatan yang disyorkan oleh Pegawai Perubatan. Pesakit perlu memohon untuk dirujuk ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan melalui sistem eHis bagi mendapatkan bantuan peralatan.
  • Pesakit / waris pesakit perlu hadir ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan untuk penetapan tarikh temujanji.
  • Pesakit / waris pesakit perlu menghadiri penilaian biopsikososial pada tarikh yang telah ditetapkan bersama dokumen sokongan.
  • Penilaian biopsikososial akan dilakukan untuk mendapatkan maklumat sosioekonomi sama ada pesakit layak atau tidak untuk mendapatkan bantuan peralatan.
  • Sekiranya pesakit layak memohon bantuan peralatan, Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan menentukan agensi bantuan yang bersesuaian.
  • Pegawai Kerja Sosial Perubatan akan berbincang dengan pesakit / waris pesakit berkaitan kos yang akan ditanggung oleh pesakit.
  • Permohonan akan dihantar kepada agensi bantuan yang telah ditentukan. Tempoh masa pesakit akan menerima peralatan adalah bergantung kepada kelulusan daripada agensi bantuan yang terlibat.

Apakah dokumen sokongan yang perlu disediakan?

  • Salinan kad pengenalan pesakit dan isirumah.
  • Salinan slip gaji pesakit (jika bekerja) dan penyara keluarga (sekiranya pesakit tidak bekerja, slip gaji penyara isirumah adalah diperlukan)
  • Surat Pengesahan Pendapatan dari Ketua Kampung / Penghulu / JKKK / Wakil Rakyat. (sekiranya pesakit tidak bekerja atau tidak mempunyai slip gaji)
  • Salinan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terkini pesakit / penyara isirumah (jika ada).
  • Salinan bil utiliti (air, elektrik, ASTRO) dan bukti perbelanjaan bulanan.
  • Dokumen sokongan lain jika diperlukan akan dimaklumkan kepada pesakit mengikut kesesuaian agensi bantuan.

Jabatan Otorinolaringologi, Unit Audiologi dan Unit Rehabilitasi Pertuturan

Soalan Lazim Jabatan Otorinolaringologi (ORL)

 

  1. Bilakah hari-hari rawatan pesakit luar Klinik ORL?
    • Rawatan pesakit luar adalah pada PAGI hari Selasa, Rabu dan Jumaat.
    • Klinik Skin Prick Test adalah pada hari Isnin petang.
    • Klinik FNAC dan rawatan sebelum pembedahan adalah pada petang hari Selasa. Hari Rabu petang adalah Klinik Obstructive Sleep Apnea (OSA) dan Klinik Head and Neck Cancer.
    • Sebarang kes-kes kecemasan akan diberi tarikh temujanji klinik pada hari yang sama. Selepas waktu berkerja, pesakit boleh mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Sungai Buloh atau di mana-mana hospital berdekatan.
      (Sila rujuk Jadual Waktu Operasi Klinik )
  1. Bilakah hari pembedahan ORL?
    • Pembedahan ORL boleh dijalankan secara bius sepenuhnya atau setempat.
    • Hari pembedahan bius sepenuhnya dijalankan setiap hari Isnin dan Khamis. Tambahan, setiap dua bulan sekali, Jabatan ORL akan menjalankan pembedahan bius sepenuhnya pada hari Sabtu pagi serta pembedahan harian setiap hari Khamis.
    • Pembedahan bius setempat akan dijalankan pada hari Isnin sahaja.
  1. Perlukah saya mendapatkan surat rujukan?
    • Ya, semua rujukan ke Klinik Pakar memerlukan surat rujukan.
  1. Saya sedang mengalami penyakit tonsillitis dan telah dinasihati untuk menjalani pembedahan tonsillectomy. Bilakah masa paling sesuai untuk menjalani pembedahan tonsillitis?

Biasanya pembedahan tonsillectomy akan disarankan sekiranya salah satu daripada kriteria-kriteria berikut dipenuhi:

    • Penyakit tonsillitis yang berulang (lebih lima kali setahun untuk dua tahun berturutan / setiap bulan berlaku penyakit tonsillitis.
    • Penyakit peritonsillar abscess.
    • Gangguan pernafasan disebabkan saiz tonsil yang besar (Obstructive Sleep Apnea).
    • Disyaki barah tonsil.

Pembedahan tonsillectomy hanya akan dijalankan apabila pesakit sihat dan tidak mengalami sakit tekak. Dengan adanya jangkitan tonsillitis, risiko pendarahan adalah lebih tinggi dan kita ingin mengelakannya daripada berlaku.

  1. Saya telah mendapat temujanji dengan pakar Audiologi / Speech Therapist. Perlukah saya berjumpa dengan Pakar ORL juga?
    • Ya. Doktor Klinik ORL perlu memeriksa telinga pesakit sebelum sebarang ujian pendengaran untuk memastikan saluran telinga bersih atau anatominya adalah normal. Selepas ujian pendengaran dijalankan, barulah pesakit boleh berjumpa dengan Speech Therapist. Pendengaran adalah penting untuk memastikan pesakit dapat dengar arahan Speech Therapist.
  1. Apakah persediaan yang saya perlu jalankan sebelum pembedahan?

Jabatan ORL menjalankan pelbagai pembedahan tetapi proses persediaan adalah hampir sama.

    1. Sebelum diberi tarikh pembedahan, pesakit akan dijelaskan indikasi serta risiko sesuatu pembedahan. Sekiranya pesakit setuju untuk pembedahan, beliau akan diberi tarikh pembedahan yang mungkin ambil masa 1 minggu sehingga 3 bulan mengikut penetapan dan kekosongan.
    2. Beberapa ujian akan dijalankan (bergantung kepada keperluan pesakit) sebelum tarikh pembedahan. Contohnya: (CT scan, Xray peparu, ECG, Ujian darah).
    3. Rujukan kepada Pakar bius akan diberikan sebelum tarikh pembedahan.
    4. Tarikh temujanji akan diberi pada hari Selasa sebelum tarikh pembedahan untuk bertemu dengan pesakit supaya kita dapat menjelaskan sekali lagi pembedahan yang akan dijalankan dan pesakit dapat mengemukakan sebarang kemusykilan atau kebimbangan. Sekiranya kita mendapati pesakit tidak cukup sihat untuk pembedahan pada hari Selasa tersebut, tarikh pembedahan akan ditangguhkan.  Jika pesakit sihat dan setuju untuk pembedahan, kebenaran untuk pembedahan akan ditandatangani oleh pesakit pada hari itu.
    5. Pesakit dinasihati untuk mendaftar masuk ke wad sehari sebelum tarikh pembedahan. Sekiranya pesakit mempunyai penyakit kronik yang lain seperti darah tinggi atau kencing manis, pesakit mungkin dinasihati untuk masuk ke wad beberapa hari lebih awal untuk mengoptimumkan keadaan pesakit sebelum pembedahan.
    6. Pesakit dinasihati tidak membawa sebarang barang-barang berharga semasa masuk wad. Semua barang kemas yang bernilai tidak dibenarkan dipakai di dalam bilik bedah kerana akan mengganggu peralatan pembedahan. Sekiranya dompet / telefon bimbit / laptop atau tablet dibawa bersama ke hospital, pastikan barang-barang tersebut tidak dibiarkan tanpa diawasi. Hospital tidak bertanggungjawab atas kehilangan barang-barang tersebut.

Soalan lazim Unit Rehabilitasi Pertuturan (Speech Therapy)

  1. Bagaimana menjaga suara dengan baik?

(a) Kekal berhidrasi dengan minum air yang mencukupi.

(b) Berhenti merokok.

(c) Elakkan berdehem dengan kerap.

(d) Sentiasa rehatkan suara (voice rest).

(e)  Elakkan makanan atau minuman yang boleh menyebabkan Acid Reflux seperti minuman berkafein, alcohol, minuman berkarbonat, makanan pedas atau cokelat.

(f) Elakkan menjerit atau bercakap di tempat yang terlalu bising.

  1. Pelat..Bila waktu yang sesuai untuk ke Speech Therapy?

(a) Apabila sebutan perkataan itu tidak jelas (contoh : makan menjadi “atan”, susu menjadi “cucu”).

(b) Apabila perkataan itu disebut hujung sukukata (contoh : kereta menjadi “te”, topi menjadi “pi”).

(c) Jika kanak-kanak telah di kenal pasti tidak mempunyai masalah pendengaran.

(d) Kanak-kanak 4 tahun dan lebih yang sudah mempunyai kemahiran berbahasa dan berkomunikasi seperti kanak-kanak lain.

(e) Kanak-kanak yang mempunyai masalah sumbing bibir atau lelangit.

  1. Apakah faktor – faktor  anak lambat bercakap:

(a) Masalah pendengaran. Kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran akan menghadapi kesukaran untuk meniru dan menghasilkan bunyi pertuturan. Oleh itu, ibu bapa perlulah membawa anak berjumpa dengan Audiologis di hospital berdekatan untuk menjalani ujian pendengaran.

(b) Masalah kesihatan lain atau gangguan pada perkembangan otak seperti Autisme, sawan atau memiliki ciri-ciri sindromik lebih cenderung untuk memiliki masalah gangguan bahasa atau lambat bertutur.

(c) Masalah pergerakan otot pertuturan. Ini juga menunjukkan salah satu gangguan yang berlaku di bahagian otak. Ia mengganggu penghasilan pertuturan. Kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk menggunakan dan mengatur pergerakan bibir, lidah dan rahang  untuk menghasilkan pertuturan.

(d) Sejarah lewat bercakap dalam keluarga. Kanak-kanak turut mempunyai potensi untuk mengalami masalah kelewatan percakapan sekiranya terdapat sejarah lewat bercakap di dalam keluarga.

(e) Kurang rangsangan bahasa. Ibubapa / penjaga kurang meluangkan masa bermain dan bercakap dengan anak.

(f) Pendedahan berlebihan kepada “gadget” atau televisyen menyebabkan kanak-kanak kurang berinteraksi dengan orang lain dan menyebabkan perkembangan bahasa yang terhad.

  1. Bagaimana untuk membantu merangsang percakapan anak?

(a) Bermain dan bercakap dengan anak.

(b) Label perkataan secara spesifik apabila bercakap dengan anak (contoh: adik makan epal, cepat pakai kasut berbanding menggunakan ‘itu, ini’).

(c) Komen atau terangkan kepada anak apa yang sedang dibuatnya atau apa yang berlaku di sekeliling.

(d) Tunggu serta beri ruang masa kepada anak untuk merespon kepada percakapan anda.

(e) Jangan bercakap laju dengan anak.

(f) Gunakan intonasi suara yang menarik.

(g) Sebut perkataan dan ayat dengan tepat. Jangan guna sebutan pelat.

(h) Kurangkan bertanya soalan.

(i) Puji dan beri galakan apabila anak bercakap dengan anda.

  1. Apa itu Speech Therapy?

Perkhidmatan Pemulihan Pertuturan atau Speech Therapy adalah perkhidmatan yang menjalankan penilaian, diagnosa dan perawatan pemulihan kepada bayi, kanak-kanak dan dewasa yang mempunyai masalah dari segi kelewatan pertuturan dan bahasa, suara, sengau, gagap, penelanan (swallowing)feeding, pendengaran,  artikulasi (pelat) dan Augmentative dan Alternative Communication (AAC) selama 45 hingga 60 minit. 

  1. Apakah tanda-tanda seseorang itu mempunyai masalah penelanan?

(a) Kurang selera makan.

(b) Pengawalan air liur yang lemah.

(c) Susah untuk mengunyah makanan.

(d) Susah dan sakit ketika menelan makanan.

(e) Terdapat sisa makanan di dalam mulut yang tidak habis di telan.

(f) Rasa makanan “terlekat” atau “tersangkut” di dalam tekak.

(g) Mengambil masa yang lama untuk menghabiskan satu hidangan.

(h) Batuk dan /atau tersedak ketika dan selepas makan dan minum.

(i) Sesak nafas selepas menelan.

(j) Berat badan menurun tanpa sebab.

(k) Demam panas yang berpanjangan.

(l) Kanak-kanak memilih untuk makan makanan yang mempunyai tekstur-tekstur tertentu sahaja.

(m) Sentiasa meluahkan semula makanan yang di makan.

  1. Apakah tanda-tanda bayi mempunyai masalah untuk menyusu?

(a) Susu meleleh keluar dari mulut ketika menyusu.

(b) Tiada kemahiran menghisap susu.

(c) Mengambil masa yang lama untuk menghabiskan jumlah susu yang sepatutnya.

(d) Tersedak secara konsisten semasa menyusu.

(e) Bernafas laju semasa menyusu.

Soalan-soalan yang sering diutarakan di Bilik Audiologi

  1. Adakah pendengaran saya boleh kembali pulih?
    • Itu bergantung pada jenis masalah pendengaran yang dialami samada jenis sensorineural, konduktif, atau campuran.
    • Pada kebiasaannya, masalah pendengaran sensorineural tidak dapat dipulihkan kerana ianya melibatkan saraf di organ pendengaran.
    • Manakala masalah pendengaran konduktif masih boleh diubati bergantung pada jenis masalah yang dialami.  
  1. Adakah masalah pendengaran saya ini memerlukan saya memakai alat bantu pendengaran ?
    • Sangat disarankan bagi masalah pendengaran kekal dan jenis masalah pendengaran yang susah dipulihkan.
    • Alat bantu pendengaran berfungsi menguatkan bunyi pada frekuensi bunyi yang tidak dapat didengari oleh anda pada tahap tertentu agar anda dapat mendengar dengan lebih baik .
    • Penggunaan alat bantu pendengaran mampu memperbaiki kualiti hidup anda dan membantu mengekalkan kelancaran fungsi penghantaran bunyi ke otak.
  1. Perlukah saya memakai di kedua-dua belah telinga?
    • Jika masalah pendengaran dikesan di kedua-dua belah telinga, seelok-eloknya pesakit memakai di kedua-dua belah telinga untuk membolehkan pesakit mendengar dari pelbagai arah.
    • Walaubagaimanapun, pesakit boleh memilih untuk cuba memakai di sebelah telinga terlebih dahulu.
  1. Berapakah harga alat bantu pendengaran?
    • Harga alat bantu pendengaran bergantung pada jenis, dan teknologi alat tersebut. Pemilihan jenis alat bergantung pada tahap dan jenis masalah pendengaran.
    • Harga untuk alat bantu pendengaran bagi sebelah telinga ialah dalam lingkungan RM1,000 hingga RM10,000.
  1. Bolehkah saya memohon bantuan kewangan untuk membeli alat bantu pendengaran?
    • Ya.
    • Jika anda adalah kakitangan kerajaan atau pencen kerajaan, anda boleh memohon di bawah bantuan Jabatan Perkhidmatan Awam.
    • Jika tidak, audiologis anda akan merujuk anda ke Jabatan Kebajikan Sosial Perubatan di hospital tempat anda membuat rawatan bagi menentukan saluran yang terbaik untuk anda. Cth: Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tabung Bantuan Perubatan hospital, Lembaga Zakat, dan lain-lain.
  1. Bagaimana jika saya ada masalah dengan alat bantu pendengaran selepas memakainya?
    • Semestinya terdapat temujanji susulan selepas pemasangan alat bantu pendengaran bagi memudahkan audiologis memberi setting yang optimum kepada pesakit.
  1. Bolehkah saya membuka alat bantuan pendengaran selepas dipasang?
    • Ya.
    • Alat bantu pendengaran boleh ditanggalkan contohnya ketika mandi dan tidur.
    • Walaubagaimanapun, ia perlu dipakai secara optimum sekurang-kurangnya 8 jam sehari.

Klinik Perubatan Rehabilitasi

SOALAN LAZIM KLINIK PERUBATAN REHABILITASI


1.  Bagaimanakah saya boleh mendapatkan temujanji ke Klinik Pakar Rehabilitasi?

Bagi mendapatkan temujanji di Klinik Pakar Rehabilitasi, anda perlu mendapatkan penilaian dan disusuli rujukan daripada mana-mana Pegawai Perubatan atau Pakar di Klinik Kesihatan terdekat berhampiran anda. Anda mungkin juga dirujuk oleh Pegawai Perubatan atau Pakar yang merawat anda di hospital. Anda ataupun waris/wakil membawa surat rujukan tersebut ke kaunter Klinik Pakar Rehabilitasi bagi mendapatkan tarikh temujanji.

2.  Sekiranya saya seorang OKU, apakah yang perlu saya lakukan untuk mendapatkan kad OKU?

Bagi mendapatkan kad OKU adalah anda perlu mendapatkan dan melengkapkan borang OKU dari pejabat JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) terdekat dengan kediaman anda. Seterusnya, anda perlu mendapatkan pengesahan oleh Pegawai Perubatan / Pakar yang berdaftar samada kerajaan atau swasta tertakluk kepada jenis kelainan upaya yang dialami. Maklumat terperinci boleh didapati di laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui pautan www.jkm.gov.my

3.  Sekiranya anda seorang OKU, apakah aktiviti untuk memperkasakan OKU?

Perkhidmatan Rehabilitasi secara pesakit dalam dan pesakit luar disediakan bagi memperkasakan OKU daripada aktiviti asas harian sehingga aktiviti komuniti pemanduan OKU serta Program Kembali Bekerja bagi OKU. Dapatkan rujukan melalui klinik terdekat ke Klinik Pakar Rehabilitasi berhampiran anda.

4.  Apakah kriteria rujukan kepada Jabatan Perubatan Rehabilitasi?

Kriteria rujukan termasuk:

  • Kelainan upaya kompleks yang memerlukan perkhidmatan melebihi dua komponen rehabilitasi
  • Mempunyai keupayaan kognitif yang baik bagi mempelajari teknik/skil khas oleh pasukan rehabilitasi
  • Mempunyai sokongan keluarga

5.  Bagi pesakit yang memerlukan perkhidmatan fisioterapi atau pemulihan cara kerja sahaja, perlukah dirujuk ke Jabatan Perubatan Rehabilitasi?

Pesakit boleh dirujuk terus kepada Unit Pemulihan Perubatan Fisioterapi atau Unit Pemulihan Perubatan Cara Kerja tanpa melalui Jabatan Perubatan Rehabilitasi berdasarkan penilaian oleh Pakar/Pegawai Perubatan yang merawat.

6.  Bagaimanakah proses pembiayaan peralatan khas/anggota palsu atau alat sokongan /ortosis bagi proses rehabilitasi?

Pakar Rehabilitasi akan menentukan keperluan spesifik peralatan sokongan / anggota palsu / ortosis mengikut keperluan tersendiri pesakit dan akan berbincang dengan pesakit melalui rujukan ke Jabatan Perubatan Sosial bagi mengenalpasti sumber pembiayaan peralatan yang sesuai sekiranya berkaitan.

Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN)

  • Adakah pesakit kusta baru boleh dimasukkan ke PKKN?
    • Tidak. Selepas tahun 1995, pesakit kusta baru tidak lagi dimasukkan ke PKKN kerana rawatan kusta telah diintegrasikan ke klinik-klinik kesihatan berhampiran. Pesakit kusta baru kini boleh mendapatkan rawatan di klinik-klinik berhampiran seperti penyakit-penyakit lain (outpatient).
  • Apakah Penghuni PKKN Sekarang
    • Penghuni PKKN sekarang adalah bekas pesakit kusta yang telah mendiami PKKN sejak Tahun 1926 yang mana pada ketika itu, semua pesakit kusta perlu diasingkan kerana tiada rawatan. Bekas pesakit kusta yang sihat akan tinggal di chalet-chalet di PKKN manakala yang kurang sihat akan dimasukkan ke dalam wad di PKKN.

Jabatan Anestesiologi

1. Kenapa saya perlu berjumpa anaesthetist sebelum pembedahan?

Anaesthetist akan berjumpa dengan pesakit di wad sehari sebelum pembedahan atau seelok-eloknya di klinik anaesthetik untuk memeriksa pesakit:

  1. mengambil sejarah pembedahan/pembiusan yang lepas
  2. komplikasi pembiusan yang lepas
  3. sejarah komplikasi bius dalam keluarga (eg: malignant hyperthermia)
  4. sejarah alahan
  5. sejarah penyakit kronik
  6. ubatan yang sedang diambil termasuk ubatan tradisional dan herbal
  7. sekiranya anda seorang wanita adakah anda sedang mengandung atau menyusukan anak?
  8. adakah anda mempunyai masalah pendengaran/penglihatan atau pergerakan yang memerlukan perhatian yang lebih.

 Ini akan diikuti oleh pemeriksaan badan

 Anda kemudian akan diberitahu pelan untuk pembedahan;

  1. bila untuk mula berpuasa
  2. apa ubatan yang perlu diambil dan tidak perlu diambil sebelum pembedahan
  3. jenis pembiusan yang akan dilakukan
  4. persediaan yang perlu ada untuk pembedahan (eg: katil ICU)
  5. risiko pembiusan
  6. kaedah mengawal kesakitan selepas pembedahan

2. Adakah saya akan mengalami kesakitan selepas pembedahan?

Semua pembedahan akan menyakitkan tetapi anda akan diberi ubat penahan sakit sewaktu pembedahan dan sekiranya anda masih merasai kesakitan selepas pembedahan anda boleh meminta ubat tambahan.

3. Adakah saya akan ditidurkan sewaktu pembedahan?

 Anda akan diberikan pembiusan mengikut jenis pembedahan yang dilakukan juga bergantung kepada kesesuaian pesakit;

  1. Bius penuh (General Anaesthesia). Anda akan ditidurkan dengan injeksi ubat tidur atau gas tidur.
  2. Pembiusan setempat. (Regional Anaesthesia). Ini dilakukan dengan injeksi di saraf tunjang melalui tulang belakang ataupun saraf pleksus seperti di leher/bahu atau peha. Anda akan sedar sewaktu pembedahan.

4. Apakah risiko pembiusan?

Kematian atau kecacatan serius akibat pembiusan (seperti kecacatan otak) sangat jarang berlaku tetapi kemungkinannya ada. Risikonya berbeza mengikut tahap kesihatan anda dan jenis pembedahan yang dilakukan. Di Hospital Sungai Buloh purata 3.5 kematian bagi setiap 1,000 pembedahan elektif dan meningkat kepada 23 kematian bagi setiap pembedahan kecemasan keran Hospital ini adalah pusat Trauma dan menerima banyak kes kemalangan jalanraya.

5. Adakah saya akan terjaga sewaktu pembedahan?

Fenomena tersedar sewaktu pembiusan penuh adalah sangat jarang berlaku . Kajian sedang dilakukan di Malaysia dan keputusannya masih dalam proses, di sesetengah Negara dilaporkan incident sebanyak 1:15,000-1:40,000. Seorang anaesthesiologist akan sentiasa bersama anda utk memastikan ini tidak berlaku dan sekiranya berlaku anda akan diberi rawatan susulan seperti kaunselling dsb.

6. Adakah anaesthetist akan berada bersama saya sepanjang waktu pembedahan?

Doktor Bius anda akan berada bersama anda sepanjang waktu pembedahan untuk memastikan keselamatan anda. Dia juga akan memberikan anda cecair intravena, antibiotic, ubat penahan sakit, darah dsb sepanjang waktu pembedahan sehingga anda sedar dan berada di ruang pemulihan.

7. Kenapa saya kena berpuasa sebelum pembedahan?

Dalam keadaan sedar badan kita mempunyai mekanisma untuk mengelakkan kita dari muntah. Tetapi mekanisma ini tidak berfungsi sewaktu pembiusan. Oleh itu adalah amat penting supaya perut anda kosong sewaktu pembiusan untuk mengelakkan dari termuntah di mana cecair/makanan dari perut boleh masuk ke dalam paru-paru dan menyebabkan komplikasi yang sangat serius.

Dalam kes kecemasan di mana perut pesakit masih belum kosong sepenuhnya doctor bius anda akan mengambil kaedah lain untuk mengelakkan ini dari berlaku.

Walaupun dirancang untuk pembiusan regional, anda masih perlu berpuasa kerana kemungkinan anda diberi bius tidur masih ada.

8. Apakah Spinal Anaesthesia?

Untuk Spinal Anaesthesia satu jarum yang kecil akan dimasukkan di antara tulang belakang pinggang anda hingga ke ruang saraf tunjang anda yang dipenuhi oleh cecair dipanggil cerebrospinal fluid (CSF). Ubat pelali akan diinjek melalui jarum ini ke dalam cecair CSF yang akan membiuskan saraf anda dan anda akan merasa kebas dari pinggang ke bawah. Kesan kebas ini hanya sementara dan anda akan kembali seperti sediakala setelah kesan ini hilang.

9. Apakah Epidural Anaesthesia?

Epidural adalah satu ruang di tepi saraf tunjang. Epidural anaethesia adalah sejenis pembiusan regional/setempat yang memerlukan sebatang jarum diletakkan di antara tulang belakang anda (biasanya di pinggang/kadang-kadang di tengah belakang setelah anda diberikan bius pelali). Satu tiub plastic yang kecil (catheter) akan dimasukkan melalui jarum ini ke ruang epidural. Jarum epidural kemudiannya akan dikeluarkan dan ubatan epidural akan diberi melalui catheter ini dan boleh dilanjutkan selepas pembedahan untuk menahan sakit selepas pembedahan.

Prosedur ini selalunya dilakukan dalam keadaan duduk tetapi sekiranya anda tidak boleh duduk boleh juga dilakukan di dalam keadaan berbaring. Biasanya epidural catheter diletakkan di pinggang/kadang-kadang di tengah belakang (setelah anda diberikan bius pelali) bergantung kepada jenis pembedahan yang dilakukan.

10. Apakah kesan sampingan yang biasa berlaku?

  • Loya dan muntah.

Ini adalah kesan yang paling selalu berlaku 24jam pertama selepas pembedahan. 20-30% pesakit akan mengalaminya. Perempuan dan orang yang mengalami mabuk perjalanan (motion sickness) lebih berisiko. Juga yang mengalami masalah yang sama sewaktu pembedahan dahulu. Oleh itu adalah penting anda meemberitahu masalah ini kepada doctor bius anda supaya dia boleh menggunakan ubat/kaedah yang lain untuk mengelak perkara ini dari berulang. Ubat antiemetik juga boleh diberi untuk mengelakkan perkara ini dari berlaku.

  • Sakit tekak

Sakit tekak dan serak berlaku dalam 40% pesakit dan boleh berlanjutan hingga beberapa hari. Pesakit perempuan berumur kurang 50 tahun dan pembedahan melebihi 3 jam lebih berisiko. Regional Anaesthesia adalah cara terbaik untuk mengelak ini dari berlaku dan pengambilan ubat sakit tekak seperti strepsil boleh menolong meredakan sakit tekak.

  • Kerosakan gigi

Trauma kepada gigi boleh berlaku 1:2,000 kes, selalunya kepada.gigi sebelah atas. Pesakit yang berisiko selalunya yang mempunyai kesihatan gigi yang kurang baik ataupun kepayahan yang berlaku sewaktu memasukkan tiub pernafasan ke dalam keronkong.

Oleh itu adalah penting anda memberitahu doctor bius anda sekiranya and mempunyai gig yang longgar atau reput.

  • Sejuk dan Menggigil

Serai 25-50% pesakit akan menggigil selepas pembedahan. Kebanyakannya disebabkan oleh suhu dewan bedah yang sejuk (untuk mengelak jangkitan kuman). Sebab lain adalah kesakitan, demam atau stress. Pembedahan yang panjang dan tubuh yang terdedah meningkatkan lagi risiko menggigil kesejukan.

Doktor bius anda akan berusaha untuk memastikan suhu badan anda tidak turun melampau dengan memakaikan selimut, pemanas dan memberi cecair intravena yang telah disuamkan.

Jabatan Dietetik Dan Sajian

  • Bolehkan pesakit di wad memesan makanan selain dari menu yang telah disediakan oleh pihak hospital?
    • Tidak boleh tanpa arahan daripada Pegawai Dietetik yang bertugas di wad tersebut. Menu pesakit di hospital adalah terdiri daripada diet normal (pedas dan tidak pedas), diet modifikasi konsistensi (soft diet, diet cincang, bubur campur dan blenderized diet), diet vegetarian, diet teraputik dan diet kanak-kanak. Pesakit boleh membuat pilihan berdasarkan kepada menu yang sedia ada di dalam menu kad. Namun sekiranya anda mempunyai penyakit yang memerlukan pengubahsuaikan nutrien seperti kencing manis, darah tinggi, gout dan sebagainya, Pegawai Perubatan/Jururawat bertugas/ Pegawai Dietetik akan menentukan diet yang bersesuaian untuk anda
  • Saya mempunyai masalah berat badan, bagaimanakah cara untuk menurunkan berat yang selamat dan berjaya?
    • Berat badan yang berlebihan boleh mengundang kepada penyakit metabolik seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya. Oleh kerana itu penurunan berat badan adalah disarankan untuk meningkatkan kualiti hidup individu.Penurunan berat badan adalah satu proses dan ia tidak akan berlaku dalam sekelip mata dan tiada jalan mudah untuk menurunkan berat badan. Anda perlu mengubah tabiat pemakanan, menjadi lebih aktif, amalkan gaya hidup yang sihat dan digalakkan untuk berjumpa dengan Pegawai Dietetik bagi mendapatkan rundingcara pemakanan yang sistematik dan selamat
  • Bagaimanakah prosedur untuk mendapatkan rundingcara pemakanan daripada Pegawai Dietetik yang bertauliah?
    • Anda perlu mendapatkan surat rujukan daripada Pegawai Perubatan kerajaan ataupun swasta untuk berjumpa Pegawai Dietetik dan tetapkan tarikh temujanji di Klinik Kaunseling Pemakanan (extn : 7104) sebelum rundingcara pemakanan dijalankan

Prosedur Bersalin

  • Perlukan saya menempah (booking) terlebih dahulu sekiranya ingin bersalin di sini?
    • Untuk makluman, puan tidak perlu 'booking' sekiranya ingin bersalin di sini. Puan juga tidak perlu membuat pemeriksaan awal di HSB, memadai jika meneruskan mendapat rawatan di klinik ibu mengandung yang puan ikuti sekarang.
  • Dimanakah harus saya pergi sekiranya saya hendak bersalin?
    • Puan perlu segera datang ke PAC (Patient Assesment Center) di Hospital Sungai Buloh (HSB) yang terletak bersebelahan dengan Jabatan Kecemasan.
  • Apakah yang perlu dibawa apabila saya mempunyai tanda- tanda untuk bersalin?
    • Puan perlu membawa kad pemeriksaan ibu mengandung, kad pengenalan atau surat jaminan majikan (jika ada), kelengkapan diri dan anak semasa datang ke PAC, HSB.

Jabatan Forensik

  1. Adakah pihak jabatan / hospital menyediakan perkhidmatan menguruskan mayat termasuk mandi mayat dan kafan?

Pihak jabatan / hospital hanya menyediakan fasiliti sahaja. Pengurusan mayat adalah urusan waris dengan pihak pemberi perkhidmatan luar.

  1. Adakah semua kematian perlu dijalankan pemeriksaan bedah siasat?

Pegawai Perubatan di Jabatan Perubatan Forensik hanya boleh menjalankan pemeriksaan bedah siasat selepas mendapat arahan daripada pihak polis melalui Surat Polis 61.

  1. Berapa lamakah jangka masa yang diambil bagi menjalankan pemeriksaan bedah siasat?

Kebiasaannya ia mengambil masa selama dua hingga tiga jam. Bagi kes yang lebih rumit, jangka masa bedah siasat boleh melebihi tiga jam.

  1. Berapa lamakah jangka masa yang diperlukan untuk mendapatkan keputusan ujian analisis kandungan alkohol dalam cecair badan?

Tujuh hari bekerja.

  1. Bolehkah waris dan ahli keluarga si mati melihat proses pemeriksaan bedah siasat?

Tidak dibenarkan. Walau bagaimanapun, setelah proses tersebut selesai, pihak waris dan ahli keluarga yang lain boleh melihat mayat dan menguruskannya (mandi dan kafan).

Paparan terbaik menggunakan Mozilla Firefox dengan resolusi minima 1366x768. Juga boleh dilayari pada telefon pintar atau tablet (Responsive Design)

3343874
Pengunjung Hari Ini: 110
Jumlah Pengunjung: 3,343,874
Image