Soalan Lazim Jabatan Otorinolaringologi (ORL)
- Bilakah hari-hari rawatan pesakit luar Klinik ORL?
- 
- Rawatan pesakit luar adalah pada PAGI hari Selasa, Rabu dan Jumaat.
- Klinik Skin Prick Test adalah pada hari Isnin petang.
- Klinik FNAC dan rawatan sebelum pembedahan adalah pada petang hari Selasa. Hari Rabu petang adalah Klinik Obstructive Sleep Apnea (OSA) dan Klinik Head and Neck Cancer.
- Sebarang kes-kes kecemasan akan diberi tarikh temujanji klinik pada hari yang sama. Selepas waktu berkerja, pesakit boleh mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Sungai Buloh atau di mana-mana hospital berdekatan.
 (Sila rujuk Jadual Waktu Operasi Klinik )
 
- Bilakah hari pembedahan ORL?
- 
- Pembedahan ORL boleh dijalankan secara bius sepenuhnya atau setempat.
- Hari pembedahan bius sepenuhnya dijalankan setiap hari Isnin dan Khamis. Tambahan, setiap dua bulan sekali, Jabatan ORL akan menjalankan pembedahan bius sepenuhnya pada hari Sabtu pagi serta pembedahan harian setiap hari Khamis.
- Pembedahan bius setempat akan dijalankan pada hari Isnin sahaja.
 
- Perlukah saya mendapatkan surat rujukan?
- 
- Ya, semua rujukan ke Klinik Pakar memerlukan surat rujukan.
 
- Saya sedang mengalami penyakit tonsillitis dan telah dinasihati untuk menjalani pembedahan tonsillectomy. Bilakah masa paling sesuai untuk menjalani pembedahan tonsillitis?
Biasanya pembedahan tonsillectomy akan disarankan sekiranya salah satu daripada kriteria-kriteria berikut dipenuhi:
- 
- Penyakit tonsillitis yang berulang (lebih lima kali setahun untuk dua tahun berturutan / setiap bulan berlaku penyakit tonsillitis.
- Penyakit peritonsillar abscess.
- Gangguan pernafasan disebabkan saiz tonsil yang besar (Obstructive Sleep Apnea).
- Disyaki barah tonsil.
 
Pembedahan tonsillectomy hanya akan dijalankan apabila pesakit sihat dan tidak mengalami sakit tekak. Dengan adanya jangkitan tonsillitis, risiko pendarahan adalah lebih tinggi dan kita ingin mengelakannya daripada berlaku.
- Saya telah mendapat temujanji dengan pakar Audiologi / Speech Therapist. Perlukah saya berjumpa dengan Pakar ORL juga?
- 
- Ya. Doktor Klinik ORL perlu memeriksa telinga pesakit sebelum sebarang ujian pendengaran untuk memastikan saluran telinga bersih atau anatominya adalah normal. Selepas ujian pendengaran dijalankan, barulah pesakit boleh berjumpa dengan Speech Therapist. Pendengaran adalah penting untuk memastikan pesakit dapat dengar arahan Speech Therapist.
 
- Apakah persediaan yang saya perlu jalankan sebelum pembedahan?
Jabatan ORL menjalankan pelbagai pembedahan tetapi proses persediaan adalah hampir sama.
- Sebelum diberi tarikh pembedahan, pesakit akan dijelaskan indikasi serta risiko sesuatu pembedahan. Sekiranya pesakit setuju untuk pembedahan, beliau akan diberi tarikh pembedahan yang mungkin ambil masa 1 minggu sehingga 3 bulan mengikut penetapan dan kekosongan.
- Beberapa ujian akan dijalankan (bergantung kepada keperluan pesakit) sebelum tarikh pembedahan. Contohnya: (CT scan, Xray peparu, ECG, Ujian darah).
- Rujukan kepada Pakar bius akan diberikan sebelum tarikh pembedahan.
- Tarikh temujanji akan diberi pada hari Selasa sebelum tarikh pembedahan untuk bertemu dengan pesakit supaya kita dapat menjelaskan sekali lagi pembedahan yang akan dijalankan dan pesakit dapat mengemukakan sebarang kemusykilan atau kebimbangan. Sekiranya kita mendapati pesakit tidak cukup sihat untuk pembedahan pada hari Selasa tersebut, tarikh pembedahan akan ditangguhkan. Jika pesakit sihat dan setuju untuk pembedahan, kebenaran untuk pembedahan akan ditandatangani oleh pesakit pada hari itu.
- Pesakit dinasihati untuk mendaftar masuk ke wad sehari sebelum tarikh pembedahan. Sekiranya pesakit mempunyai penyakit kronik yang lain seperti darah tinggi atau kencing manis, pesakit mungkin dinasihati untuk masuk ke wad beberapa hari lebih awal untuk mengoptimumkan keadaan pesakit sebelum pembedahan.
- Pesakit dinasihati tidak membawa sebarang barang-barang berharga semasa masuk wad. Semua barang kemas yang bernilai tidak dibenarkan dipakai di dalam bilik bedah kerana akan mengganggu peralatan pembedahan. Sekiranya dompet / telefon bimbit / laptop atau tablet dibawa bersama ke hospital, pastikan barang-barang tersebut tidak dibiarkan tanpa diawasi. Hospital tidak bertanggungjawab atas kehilangan barang-barang tersebut.
 
Soalan lazim Unit Rehabilitasi Pertuturan (Speech Therapy)
- Bagaimana menjaga suara dengan baik?
(a) Kekal berhidrasi dengan minum air yang mencukupi.
(b) Berhenti merokok.
(c) Elakkan berdehem dengan kerap.
(d) Sentiasa rehatkan suara (voice rest).
(e) Elakkan makanan atau minuman yang boleh menyebabkan Acid Reflux seperti minuman berkafein, alcohol, minuman berkarbonat, makanan pedas atau cokelat.
(f) Elakkan menjerit atau bercakap di tempat yang terlalu bising.
- Pelat..Bila waktu yang sesuai untuk ke Speech Therapy?
(a) Apabila sebutan perkataan itu tidak jelas (contoh : makan menjadi “atan”, susu menjadi “cucu”).
(b) Apabila perkataan itu disebut hujung sukukata (contoh : kereta menjadi “te”, topi menjadi “pi”).
(c) Jika kanak-kanak telah di kenal pasti tidak mempunyai masalah pendengaran.
(d) Kanak-kanak 4 tahun dan lebih yang sudah mempunyai kemahiran berbahasa dan berkomunikasi seperti kanak-kanak lain.
(e) Kanak-kanak yang mempunyai masalah sumbing bibir atau lelangit.
- Apakah faktor – faktor anak lambat bercakap:
(a) Masalah pendengaran. Kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran akan menghadapi kesukaran untuk meniru dan menghasilkan bunyi pertuturan. Oleh itu, ibu bapa perlulah membawa anak berjumpa dengan Audiologis di hospital berdekatan untuk menjalani ujian pendengaran.
(b) Masalah kesihatan lain atau gangguan pada perkembangan otak seperti Autisme, sawan atau memiliki ciri-ciri sindromik lebih cenderung untuk memiliki masalah gangguan bahasa atau lambat bertutur.
(c) Masalah pergerakan otot pertuturan. Ini juga menunjukkan salah satu gangguan yang berlaku di bahagian otak. Ia mengganggu penghasilan pertuturan. Kanak-kanak menghadapi kesukaran untuk menggunakan dan mengatur pergerakan bibir, lidah dan rahang untuk menghasilkan pertuturan.
(d) Sejarah lewat bercakap dalam keluarga. Kanak-kanak turut mempunyai potensi untuk mengalami masalah kelewatan percakapan sekiranya terdapat sejarah lewat bercakap di dalam keluarga.
(e) Kurang rangsangan bahasa. Ibubapa / penjaga kurang meluangkan masa bermain dan bercakap dengan anak.
(f) Pendedahan berlebihan kepada “gadget” atau televisyen menyebabkan kanak-kanak kurang berinteraksi dengan orang lain dan menyebabkan perkembangan bahasa yang terhad.
- Bagaimana untuk membantu merangsang percakapan anak?
(a) Bermain dan bercakap dengan anak.
(b) Label perkataan secara spesifik apabila bercakap dengan anak (contoh: adik makan epal, cepat pakai kasut berbanding menggunakan ‘itu, ini’).
(c) Komen atau terangkan kepada anak apa yang sedang dibuatnya atau apa yang berlaku di sekeliling.
(d) Tunggu serta beri ruang masa kepada anak untuk merespon kepada percakapan anda.
(e) Jangan bercakap laju dengan anak.
(f) Gunakan intonasi suara yang menarik.
(g) Sebut perkataan dan ayat dengan tepat. Jangan guna sebutan pelat.
(h) Kurangkan bertanya soalan.
(i) Puji dan beri galakan apabila anak bercakap dengan anda.
- Apa itu Speech Therapy?
Perkhidmatan Pemulihan Pertuturan atau Speech Therapy adalah perkhidmatan yang menjalankan penilaian, diagnosa dan perawatan pemulihan kepada bayi, kanak-kanak dan dewasa yang mempunyai masalah dari segi kelewatan pertuturan dan bahasa, suara, sengau, gagap, penelanan (swallowing), feeding, pendengaran, artikulasi (pelat) dan Augmentative dan Alternative Communication (AAC) selama 45 hingga 60 minit.
- Apakah tanda-tanda seseorang itu mempunyai masalah penelanan?
(a) Kurang selera makan.
(b) Pengawalan air liur yang lemah.
(c) Susah untuk mengunyah makanan.
(d) Susah dan sakit ketika menelan makanan.
(e) Terdapat sisa makanan di dalam mulut yang tidak habis di telan.
(f) Rasa makanan “terlekat” atau “tersangkut” di dalam tekak.
(g) Mengambil masa yang lama untuk menghabiskan satu hidangan.
(h) Batuk dan /atau tersedak ketika dan selepas makan dan minum.
(i) Sesak nafas selepas menelan.
(j) Berat badan menurun tanpa sebab.
(k) Demam panas yang berpanjangan.
(l) Kanak-kanak memilih untuk makan makanan yang mempunyai tekstur-tekstur tertentu sahaja.
(m) Sentiasa meluahkan semula makanan yang di makan.
- Apakah tanda-tanda bayi mempunyai masalah untuk menyusu?
(a) Susu meleleh keluar dari mulut ketika menyusu.
(b) Tiada kemahiran menghisap susu.
(c) Mengambil masa yang lama untuk menghabiskan jumlah susu yang sepatutnya.
(d) Tersedak secara konsisten semasa menyusu.
(e) Bernafas laju semasa menyusu.
Soalan-soalan yang sering diutarakan di Bilik Audiologi
- Adakah pendengaran saya boleh kembali pulih?
- 
- Itu bergantung pada jenis masalah pendengaran yang dialami samada jenis sensorineural, konduktif, atau campuran.
- Pada kebiasaannya, masalah pendengaran sensorineural tidak dapat dipulihkan kerana ianya melibatkan saraf di organ pendengaran.
- Manakala masalah pendengaran konduktif masih boleh diubati bergantung pada jenis masalah yang dialami.
 
- Adakah masalah pendengaran saya ini memerlukan saya memakai alat bantu pendengaran ?
- 
- Sangat disarankan bagi masalah pendengaran kekal dan jenis masalah pendengaran yang susah dipulihkan.
- Alat bantu pendengaran berfungsi menguatkan bunyi pada frekuensi bunyi yang tidak dapat didengari oleh anda pada tahap tertentu agar anda dapat mendengar dengan lebih baik .
- Penggunaan alat bantu pendengaran mampu memperbaiki kualiti hidup anda dan membantu mengekalkan kelancaran fungsi penghantaran bunyi ke otak.
 
- Perlukah saya memakai di kedua-dua belah telinga?
- 
- Jika masalah pendengaran dikesan di kedua-dua belah telinga, seelok-eloknya pesakit memakai di kedua-dua belah telinga untuk membolehkan pesakit mendengar dari pelbagai arah.
- Walaubagaimanapun, pesakit boleh memilih untuk cuba memakai di sebelah telinga terlebih dahulu.
 
- Berapakah harga alat bantu pendengaran?
- 
- Harga alat bantu pendengaran bergantung pada jenis, dan teknologi alat tersebut. Pemilihan jenis alat bergantung pada tahap dan jenis masalah pendengaran.
- Harga untuk alat bantu pendengaran bagi sebelah telinga ialah dalam lingkungan RM1,000 hingga RM10,000.
 
- Bolehkah saya memohon bantuan kewangan untuk membeli alat bantu pendengaran?
- 
- Ya.
- Jika anda adalah kakitangan kerajaan atau pencen kerajaan, anda boleh memohon di bawah bantuan Jabatan Perkhidmatan Awam.
- Jika tidak, audiologis anda akan merujuk anda ke Jabatan Kebajikan Sosial Perubatan di hospital tempat anda membuat rawatan bagi menentukan saluran yang terbaik untuk anda. Cth: Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tabung Bantuan Perubatan hospital, Lembaga Zakat, dan lain-lain.
 
- Bagaimana jika saya ada masalah dengan alat bantu pendengaran selepas memakainya?
- 
- Semestinya terdapat temujanji susulan selepas pemasangan alat bantu pendengaran bagi memudahkan audiologis memberi setting yang optimum kepada pesakit.
 
- Bolehkah saya membuka alat bantuan pendengaran selepas dipasang?
- 
- Ya.
- Alat bantu pendengaran boleh ditanggalkan contohnya ketika mandi dan tidur.
- Walaubagaimanapun, ia perlu dipakai secara optimum sekurang-kurangnya 8 jam sehari.
 




