A- A A+
A A A A

Soalan LazimMaklumbalasPeta Lamanhubungi

KERAJAAN PERLU TINGKATKAN DANA PERKUKUH PERKHIDMATAN KESIHATAN

Oleh Suraya Ali - Januari 5, 2023 @ 2:07pm

DR NOOR HISHAM ABDULLAH 1672898843

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan peruntukan yang lebih tinggi daripada kerajaan bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata apa yang penting kini adalah untuk memperkukuhkan sistem sedia ada.

"Ini (peruntukan) adalah untuk memberikan akses dengan lebih baik dan meningkatkan kualiti jagaan kesihatan kawasan pedalaman dan bandar," katanya kepada BH hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sistem kesihatan negara boleh menjadi lebih baik sekiranya diberi peruntukan tambahan dan tenaga kerja.

"Kita akan memperoleh hasil yang baik, berimpak tinggi dengan kos yang berpatutan," katanya.

Sebelum ini, Malaysia menduduki ranking pertama bagi kategori kesihatan terbaik dalam kategori Dunia Indeks Persaraan Global Tahunan 2019.

Bagaimanapun, negara kini di kedudukan keempat bersama Mexico selepas rangking terbaru dikeluarkan awal bulan ini.

Menurut laman web International Living (LI), Malaysia berada di kedudukan negara ke-15 paling baik untuk persaraan dan antara enam negara teratas mendapat penilaian terbaik dalam kategori kesihatan terbaik di dunia pada tahun ini.

Malaysia menduduki tempat keempat dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dan infrastruktur canggih, selain di tempat teratas di peringkat Asia dengan skor purata 72.9 diikuti Kemboja dengan 72.3.

Laman web LI turut memaklumkan, temu janji doktor pakar boleh dibuat lebih awal, tetapi ia tidak perlu dan sebaik saja pesakit memilih hospital dan doktor pilihan, mereka hanya perlu mendaftar di kaunter dan menunggu untuk berjumpa dengan doktor pakar.

Menurut LI, majoriti doktor di Malaysia juga mendapatkan latihan perubatan di Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom atau sekurang-kurangnya menamatkan pengajian pasca siswazah.

Koresponden LI, Keith Hockton, berkata Hospital Lam Wah Ee di Pulau Pinang sentiasa menjadi hospital pilihannya.

"Hospital penjagaan akut yang mempunyai 700 katil ini mempunyai jabatan fisioterapi terbaik di Malaysia dan hospital itu sendiri mempunyai suasana yang santai dan profesional. Kakitangannya juga sangat mesra," katanya.

Selepas menetap di Malaysia selama lebih 11 tahun, Hockton mengakui mengalami banyak kemalangan ketika berbasikal di gunung dan membuat larian di bukit semasa dia mula tiba di negara ini.

"Perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah kelas pertama dan saya tahu bahawa jika sesuatu yang serius berlaku di sini, saya akan dijaga dengan baik," katanya.

Secara keseluruhan, Malaysia berada di ketiga terbaik untuk bersara di Asia di belakang Thailand yang menduduki tempat pertama dengan markah 72.9 diikuti Kemboja 72.3.