A- A A+
A A A A

Soalan LazimMaklumbalasPeta Lamanhubungi

SISA KUMBAHAN PESAWAT CHINA DIUJI BAGI ELAK VARIAN BAHARU COVID 19

Januari 5, 2023 @ 1:00pm

NETHERLANDS CHINA PANDEMIC COVID19 CORONAVIRUS 1672894825

Kakitangan perkhidmatan kesihatan Belanda mengedarkan kit ujian kendiri COVID-19 secara percuma kepada penumpang dari China di Lapangan Terbang Schiphol. - Foto EPA

 

PARIS: Beberapa negara memaklumkan akan memantau sisa kumbahan dari pesawat yang tiba dari China, sebagai langkah berjaga-jaga susulan lonjakan kes COVID-19 di seluruh dunia.

Walaupun langkah itu tidak akan menghalang penyebaran virus, ia akan memberi gambaran mengenai skala wabak di China dan sama ada varian baharu muncul di sana.

Proses itu membabitkan pemeriksaan campuran air kencing dan najis dari tandas pesawat yang tiba dari China.

Sisa kumbahan kemudiannya boleh dianalisis untuk mengetahui berapa peratus penumpang yang mempunyai coronavirus serta varian tertentu.

Pihak berkuasa tempatan mengumpul sisa kumbahan terus selepas pesawat mendarat dan menghantarnya ke makmal untuk ujian.

Apabila virus dikesan, genomnya disusun untuk mengetahui sama ada ia adalah subvarian yang diketahui.

Sisa kumbahan juga boleh dikumpulkan dari seluruh lapangan terbang, namun ini menjadikannya mustahil untuk menentukan negara di mana sampel berasal.

Belgium, Kanada, Austria dan Australia adalah antara negara yang memaklumkan akan menguji air sisa kumbahan pesawat yang datang dari China manakala Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan langkah itu.

Kesatuan Eropah (EU) dijangka melakukan perkara sama selepas majoriti pegawai kementerian kesihatan negara, Selasa lalu, mengesyorkan untuk meningkatkan pemantauan sisa kumbahan.

Jangkitan meningkat di China sejak bulan lalu apabila negara itu melonggarkan dasar 'Sifar COVID-19' yang dilaksanakan sejak permulaan wabak itu.

Beberapa negara termasuk AS menyatakan mereka memerlukan penumpang yang tiba dari China untuk memberikan ujian COVID-19 negatif, sekali gus mencetuskan kemarahan Beijing.

Tidak seperti ujian saringan, pemantauan sisa kumbahan tidak akan menghalang orang yang positif dengan COVID-19.

Menurut Pengarah Institut Kesihatan Global di Universiti Geneva, Antoine Flahault, sampel itu menawarkan peluang untuk mengetahui apa yang sedang berlaku di China.

Memantau sisa kumbahan boleh membantu mengisi kelompangan data mengenai coronavirus.

"Mengetahui bahawa 30 hingga 50 peratus penumpang dari China kini dijangkiti adalah berguna, jika tiada angka yang boleh dipercayai," katanya.

Ia juga membolehkan negara lain mengetahui mengenai kemungkinan varian baharu yang boleh mengubah trajektori wabak itu, seperti yang dilakukan oleh Omicron pada akhir 2021.

Pakar kesihatan memberi amaran bahawa lonjakan kes dalam kalangan 1.4 bilion penduduk China boleh menyediakan tempat pembiakan yang subur untuk varian baharu. - AFP