PENGENALAN
Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Shah Alam menyediakan perkhidmatan perubatan kecemasan 24 jam kepada populasi di daerah Petaling, terutamanya bandaraya Shah Alam serta kawasan-kawasan yang berhampiran. Rawatan yang diberikan adalah termasuk resusitasi, stabilisasi dan definitif, iaitu sehingga kemasukan pesakit ke wad atau bilik bedah untuk pembedahan kecemasan. Sistem triaj mengikut prinsip Malaysian Triage Scale 2022 diguna untuk memastikan pesakit diberi rawatan mengikut prioriti kecemasan.
Perkhidmatan perubatan kecemasan juga merangkumi perkhidmatan pra hospital melalui MERS 999 di bawah MECC Hospital Sungai Buloh dan MECC Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang. Perkhidmatan pra hospital selain MERS 999 juga melibatkan pengurusan bencana daripada segi perubatan dan pengendalian pasukan perubatan.
Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Shah Alam secara rasminya mempunyai 6 katil kritikal dan 10 katil separa kritikal. Walau bagaimanapun, bilangan katil di Jabatan telah pun ditambah untuk menampung bilangan pesakit yang semakin meningkat.
VISI
Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Shah Alam berdedikasi untuk menyediakan rawatan kecemasan yang berkualiti dan cekap.
MISI
Menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi yang selamat dan berkesan melalui:
tenaga kerja yang berdisiplin dan beretika
Menubuhkan organisasi yang didorong oleh pengetahuan, inovasi, integriti dan amanah
Mewujudkan persekitaran hospital yang mesra pesakit
Bekerjasama dengan masyarakat untuk mempromosikan kesihatan
OBJEKTIF
Menyediakan perkhidimatan perubatan kecemasan dan trauma yang cepat, tepat dan muktamad
Menyediakan rawatan bersepadu dan komprehensif yang lancar daripada perkhidmatan pra-hospital ke hospital
Menyediakan pengurusan kualiti menyeluruh dalam semua fasa rawatan kritikal daripada pra-hospital ke perkhidmatan triaj dan di pelbagai zon rawatan pesakit
Menyediakan rawatan resusitasi dan penstabilan yang cekap dan berkesan bersama-sama dengan perkhidmatan diagnostik yang tepat dan intervensi menyelamatkan nyawa kritikal
Pengurusan pesakit kritikal dikendalikan oleh pasukan yang mahir dan cekap termasuk pakar perubatan, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat terlatih serta anggota kesihatan yang lain.
TRIAJ memastikan pesakit memerima rawatan resusitasi dan penstabilan mengikut tahapkecemasan:
Semua pesakit perlu disaring oleh penolong pegawai perubatan di kaunter triaj primer sebelum masuk ke zon rawatan
Pesakit yang tidak stabil akan dibawa masuk terus ke zon merah
Pesakit yang stabil akan diarahkan ke triaj sekunder untuk pemeriksaan yang lebih teliti untuk memastikan tahap kecemasan.
Pesakit akan disaring mengikut 5 kategori berdasarkan “Malaysian Triage Scale 2022”. Kategori tersebut adalah:
1. Tahap 1: Resuscitation (Resusitasi)- Zon Merah
2. Tahap 2: Emergency (Kecemasan)- Zon Merah atau Zon Amber
3. Tahap 3: Urgent (Rawatan awal)- Zon Kuning (IC) dan Urgent Care (UC)
4. Tahap 4: Early care (Penjagaan awal)- Zon Hijau
5. Tahap 5: Routine (Rawatan biasa)