Unit Psikologi Kaunseling (UPsK) Hospital Ampang berada di bawah direktorat Bahagian Pengurusan dan dikendalikan oleh seorang Pegawai Psikologi (Kaunseling). Unit ini terletak diaras 2, bersebelahan dengan Unit Penyeliaan Kejururawatan dan Unit Pendidikan Kesihatan, Hospital Ampang.
Pegawai Psikologi (Kaunseling) memberi perkhidmatan psikologi kaunseling kepada kakitangan Hospital Ampang serta pesakit yang berhadapan dengan masalah dan memerlukan intervensi kaunseling. Perkhidmatan kaunseling adalah satu proses menolong yang sistematik dan berterusan. Proses ini berasaskan prinsip psikologi yang dilaksanakan oleh pegawai profesional bagi menghasilkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang holistik sepanjang hayat berlandaskan etika psikologi kaunseling. Bagi mencapai matlamat ini, perkhidmatan diberikan melalui pendekatan berterusan ilmu psikologi kaunseling yang menjurus kepada aspek pencegahan, pembangunan, pemulihan dan intervensi.
Perkhidmatan ini adalah usaha untuk mencapai dan mengekalkan kesejahteraan insan melalui pelaksanaan perkhidmatan dan intervensi berpaksikan orientasi psikologi kaunseling secara menyeluruh.
Prosedur Penerimaan Kes & Operasi Perkhidmatan Kaunseling
Perkhidmatan Kaunseling Kepada Kakitangan Hospital
- Kakitangan hospital boleh mendapatkan perkhidmatan psikologi kaunseling secara sukarela dengan cara hadir atau menghubungi Pegawai Psikologi bagi mendapatkan tarikh & masa temujanji yang sesuai atau melalui rujukan.
- Rujukan boleh dibuat oleh ketua jabatan, unit, bahagian, penyelia atau pegawai perubatan yang merawat.
Perkhidmatan Kaunseling Pesakit Dalam
- Pesakit dalam dirujuk oleh doktor yang merawat melalui borang rujukan atau sistem elektronik yang terdapat di hospital serta nofikasi kepada pegawai psikologi melalui panggilan telefon.
- Pesakit dalam akan menghadiri sesi kaunseling samada di Unit Psikologi Kaunseling atau di wad mengikut kepada kekosongan slot pegawai psikologi.
- Tarikh temujanji susulan akan diberikan sebelum pesakit discaj dan pesakit akan hadir sebagai pesakit luar bagi temujanji susulan yang akan datang
Perkhidmatan Kaunseling Pesakit Luar
- Semua kes bagi pesakit luar adalah rujukan daripada jabatan trauma dan kecemasan, klinik pakar, klinik kesihatan dan kes susulan sahaja.
- Semua kes rujukan luar perlu membawa surat rujukan daripada Pegawai Perubatan (hospital kerajaan atau klinik kesihatan) apabila datang untuk mendapatkan tarikh temujanji.
Perkhidmatan Psiko-Pendidikan
- Pegawai Psikologi boleh memberikan psiko-pendidikan dalam program Pembangunan Modal Insan yang dianjurkan oleh jabatan lain.
- Penganjur perlu membuat permohonan untuk mendapatkan slot pegawai psikologi bagi program dalam tempoh satu bulan dari tarikh jangkaan program akan diadakan.